GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

Segalanya bermula daripada bawah

Assalamualaikum wbt,

Kebelakangan ini agak sibuk memandang tarikh peperiksaan hampir menjelang. Namun sewaktu berbual dengan bonda perihal rumah di dusun kepunyaan kami, teringat sebuah pengalaman yang berharga yang diperoleh sewaktu membina rumah itu. 

                                                                                                                            

” Abang mai tolong ayah buat bingkai tingkap untuk rumah dusun” pelawa ayahanda. Abang adalah panggilan ayahanda kepada saya di rumah.

Saya ketika itu sedang menyiapkan Extended Essay, EE di bilik bingkas bangun dan ke hadapan laman rumah membantu ayahanda. 

” Ayah nak buat apa dengan bingkai ini” aku bertanya sambil .

” Ayah nak pasang kat pondok baru kita di dusun atuk hang” balas ayahanda.

Ayah sememangnya mahir dalam pertukangan dan bidang mechanical engineering walaupun beliau hanyalah seorang pelukis pelan JKR. Itulah kelebihan beliau berbanding orang lain. Ayah tidak memerlukan sijil mahupun ijazah untuk mendapat skills itu. Hanya pengalaman lalu dan buku-buku kejuruteraan yang dibelinya dijadikan sebagai panduan.

Ayahanda masih bekerja menyiapkan tembok di rumah baru kami
Ayahanda masih 'berdegil' membina tembok di rumah baru kami walaupun telah dinasihatkan untuk mengupah orang lain.

” Awat tak upah orang buat?” Saya bertanya lagi.

” Kita bukan banyak duit bang. Lebih baik buat sendiri daripada minta orang lain buat. Lagipun la ni, upah mahal dan bila orang lain buat, kualiti takdak” rungut ayah sambil mengukur besi.

” Kita buat perlahan-lahan dulu. Banyak lagi nak dibuat. Baru tambak tanah. Nanti apabila dah siap tambak kita bolehlah mula bekerja”

” Ayah nak abang tolong ayah di sana” pinta ayah kepada saya.

” Ayah tak upah saudara mara kita ? Abang Min tu bukankah la ni takdak kerja? Hah! Ajis pon baru habis SPM” Saya cuba mencari alasan tidak mahu bekerja.

Depa semua tu boleh kerja sat ja dengan ayah. Abang je yang boleh selalu bantu ayah waktu cuti ni

” Lagi satu, ayah nak abang rasa berada di bawah” jawab ayahanda.

” Berada di ‘bawah’. Apakah maksud ayah ni?” monologku. 

” Ayah nak abang rasa hidup susah. Rasa bagaimana hidup bekerja di bawah. Rasa bagaimana perasaan mereka yang berada di bawah”

” Ayah nak abang sedar apabila abang sudah berada di atas, abang jangan lupa orang-orang bawahan. Hargai jasa dan penat lelah mereka yang bekerja untuk abang nanti”

Kata-kata itu cukup menyentuh hatiku. Memang benar. Setelah bekerja membuat pondok yang akhirnya bertukar menjadi rumah tumpangan kami di dusun itu, kerja-kerja itu amat berat. Pengalaman bekerja sebagai seorang ‘buruh’ banyak mengajarku nilai sebuah kehidupan dan pengorbanan.

Walaupun ketika itu saya masih tidak bermimpi menjadi doktor pakar atau bos atau apa-apa jawatan tinggi namun ayahanda lebih cerdik membaca masa depan saya. 

 

Demi sebuah pencakar langit sang penguasa
Demi sebuah pencakar langit sang penguasa

Bayangkan jasa seorang buruh membuat rumah orang lain demi keselesaan penghuni rumah itu.

Bayangkan jasa seorang penyapu sampah jalanan demi memastikan kebersihan bandar terjaga.

Bayangkan jasa seorang tukang kebun demi sebuah taman yang mendamaikan hati pemiliknya.

Bayangkan jasa-jasa mereka yang bekerja untuk kehidupan orang lain demi sesuap nasi untuk keluarga mereka. 

Sesungguhnya kita perlulah sentiasa menghargai mereka yang berada di bawah kita. Hargailah mereka. Paling kurang kurniakan senyuman kepada mereka ketika mereka sedang atau penat bekerja. Bukankah senyuman itu juga sedekah?

Kita juga perlu bersyukur dengan setiap nikmat yang diperolehi. Nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita sepatutnya kita kongsikan dengan orang lain bukan dengan menggunakannya di jalan yang tiada faedah. 

Firman Allah SWT:

Sesungguhnya jika (kamu) bersyukur pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu. Dan jika kamu mengingkari (nikmat-ku) maka sesungguhnya azabku akan sangat pedih “.

Ibrahim ayat 7

Hargai dan kasihanilah mereka yang lebih susah daripada kita serta syukurilah nikmat kurniaan Allah SWT.

 

Sekian,

Aku yang pernah bergelar buruh sementara,

Dublin 8, Ireland.

Apa Komen Anda?