GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

Syawal di Dublin

Assalamualaikum wbt,

Telah lebih separuh purnama syawal berlalu namun kemeriahannya masih dirasai sehingga kini.

Jika di Malaysia, manusia berlumba-lumba membuka rumah masing-masing kepada para tetamu maka tidak kurang hebatnya juga suasana di sini.

Dari sebesar persatuan pelajar mahupun golongan post-grad daripada Malaysia sehinggalah penghuni yang berjumlah 4 orang sahaja, masing-masing mahu meraikan Syawal dan bersama  mengeratkan ukhuwah sesama bani Adam.

Alhamdulillah,

Persatuan Pelajar Islam Malaysia Ireland dan Persatuan Penduduk Kg. Lucan, Ireland juga telah berjaya mengadakan rumah terbuka pada Sabtu, 3 Oktober 2009.

Dianggarkan 1500 hadirin telah datang memeriahkan majlis kami. Bancian diadakan berdasarkan kuantiti makanan yang susut dengan pantas sebelum wisel penamat ditiupkan.

Seramai 30 keluarga Malaysia daripada Kampung Lucan dijemput untuk memasak satu jenis menu utama mengikut kepakaran masing-masing buat tetamu seramai 40 orang. Kemudian keluarga itu juga diminta membuat 1 set dessert juga untuk 40 orang tetamu.

Ahli khariah Kg. Lucan, Dublin
Ahli khariah Kg. Lucan, Dublin

Jadi pada hari itu, kami telah menyediakan 30 jenis lauk-pauk masakan Malaysia untuk dihidangkan kepada para tetamu kami yang dianggarkan seramai 1200 pada awalnya.

Kebanyakan hidangan mengikut menu negeri masing-masing. Nasi Kerabu, Nasi Dagang, Nasi Briyani Batu Pahat, Laksa, Mee KungFu dan macam-macam lagi sehingga ada yang kata kepada saya sampai ‘rabun mata’ memilih lauk bukan ‘rambang mata’.

Ibarat kata Pakcik Astro : “Macam-macam ada…..”

Menjelang jam 4-5 petang, para petugas tidak menang tangan menguruskan hidangan yang disediakan kerana kehadiran tetamu yang extravaganza. Mujur kami mempunyai back up plan dengan menyediakan sup ekor buat tetamu yang hadir lambat.

Dalam kekalutan menguruskan rumah terbuka, terserempat pula Pengerusi Muafakat MRSM Kuala Berang di zaman saya iaitu En. Shahrom yang datang melawat anaknya, Muadz Shahrom yang kini menuntut di RCSI, Ireland.

Nostalgia lama di Kuala Berang berputar-putar di sekeliling saya sewaktu berbicara bersama beliau. Bagaimanalah keadaan pondok ilmu yang telah ku tinggalkan itu? Semoga terus subur melahirkan ilmuan Islam masa depan.

Di sini, saya mewakili saf kepimpinan PPIMI dengan rendah diri merakamkan jutaan terima kasih kepada para hadirin yang sudi hadir ke rumah terbuka kami. Ada yang datang dari jauh seperti Galway dan Cork untuk bersama kami pada hari itu.

Juga penghargaan ditujukan kepada penduduk Kampung Lucan yang bersama kami menganjurkan rumah terbuka ini terutama Abang Hafis dan Kak Ina sebagai Pengarah Rumah Terbuka PPIMI dan Kg. Lucan. Insyallah jika dimurahkan rezeki kita buat lagi tahun depan.

TYT Dato' Raja Nazrin menghadiahkan kek kepada pihak penganjur
TYT Dato' Raja Nazrin, Duta Malaysia menghadiahkan kek kepada pihak penganjur

Namun, di dalam keghairahan kita memenuhi undangan rumah terbuka dan meraikan syawal, janganlah kita lupa akan nasib saudara seIslam kita di Padang-Indonesia, Palestin, Selatan Thailand, Selatan Filipina dan kawasan-kawasan bergolak di wilayah berpenduduk Islam.

Mereka mungkin tidak dapat menikmati syawal sebagaimana kita raikan pada masa ini. Mereka hanya mampu meraikan syawal dalam keadaan serba kekurangan dan penuh ujian.

Marilah kita bersyukur dengan bergembira menerima nikmat yang diberi-Nya, dan sebagai rasa syukur, mari kita mendekatkan diri kepada-Nya, dengan menjalankan perintah-perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Firman Allah SWT:

“Jika kamu bersyukur maka Aku (Allah) akan menambah (nikmat) itu kepada kamu. Dan jika kamu ingkar maka sesungguhnya siksa Aku amat pedih.” [Ibrahim:7]

Kita sebagai hamba-Nya, wajib memperbanyakkan ucapan syukur dan berterima kasih kepada-Nya serta selalu membesarkan nikmat sekalipun nikmat itu kecil.  Sesuai dengan firman Allah SWT,

“Syukurlah terhadap nikmat Allah jika kamu sungguh-sungguh menyembah kepada Nya.” [An Nahl: 144]

Semoga setiap amalan atau aktiviti yang kita lakukan sentiasa diikat dengan Allah. Insyallah akan hadir keberkatan oleh-Nya dan dipermudahkan segala urusan kita.

Terima kasih sekali lagi kepada yang hadir ke rumah terbuka kami. Syukran Jazilan kami ucapkan.

Sebahagian ahli tanzim PPIMI
Sebahagian ahli tanzim PPIMI

Presiden PPIMI

Dublin 8, Ireland

Apa Komen Anda?

One Comment