GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

Syawal di Malaysia

Salam Syawal,

salam-aidilfitri-ekad by iluvislam.design.

Alhamdulillah setelah 2 tahun merayakan Aidilfitri di perantauan, kini dapat saya bersama keluarga dan sanak-saudara beraya bersama. Sesungguhnya nikmat dan sambutan hari raya di tanah air jauh berbeza dan lebih meriah berbanding di tempat orang.

Walaupun saya hanya sempat beraya selama 4 hari sebelum berangkat pulang ke medan jihad di bumi Shamrock namun kesempatan itu digunakan sehabisnya bersama keluarga tersayang dan saudara-mara terdekat di sekitar Selangor.

Tahun ni saya sekeluarga beraya di Klang, Selangor tempat kelahiranku. Hajat beraya di Alor Setar, Kedah tidak kesampaian memandangkan jadual perjalanan pulang ke kota Dublin begitu dekat. Tahun hadapan mungkin saya tidak dapat beraya bersama keluarga kerana pulang awal meneruskan rotation di hospital sana.

Insyallah jika dipanjangkan umur, saya akan pulang menyambut Hari Raya bersama seluruh saudara-maraku di Selangor mahupun di Kedah pada Raya 2011 selepas graduate. Mungkin juga pulang beraya bersama bakal zaujah ke kampung halamannya.

Keseronokan beraya bersama keluarga memang tidak dapat digambarkan. Melihat saudara-mara yang kecil dan anak-anak buah membesar sungguh mengujakan. Terasa lain apabila beraya sebagai orang dewasa. Yang penting bagi si kecil, ongkos raya mesti diberi kepada mereka.

Lagi pening apabila mempunyai si kecil yang ramai dalam keluargaku. Mujur kadar pertukaran Euro ke RM tinggi maka saya tak berkira dalam hal ini. Melihat si kecil gembira menerima duit raya lebih menghiburkan hati daripada memikirkan masalah orang dewasa !

Sabitah & Esah Co.

Ziarah menziarahi adalah sunnah yang dituntut kepada kita apabila merayakan hari kebesaran ini. Seronok apabila bertemu saudara mara, sahabat-handai dan kenalan yang telah lama tidak bersua muka.

Namun sesekali hati menjadi sayu apabila menerima perkabaran bahawa sahabat atau saudara jauh kita telah lama pergi menyahut seruan Ilahi. Ketika itulah memori ligat memutarkan filem-filem lama kenangan bersama arwah. Alangkah indahnya jika dapat bersama arwah walaupun hanya seketika.

Apabila dah besar panjang ini baru terasa nikmat mengunjungi saudara-mara yang jarang kita jumpa terutama orang-orang tua. Syok berborak bersama mereka kerana mereka yang terlebih dahulu makan asam garam kehidupan daripada kita. Jadi banyaklah cerita, petua, rahsia dan macam-macam lagi yang boleh dikongsikan bersama.

Cuma yang tak seronok didengar apabila pakcik dan makcik ada masalah kesihatan. Darah tinggi, kencing manis dan macam-macam lagi yang boleh dikategorikan sebagai penyakit tua. Semoga Allah memanjangkan umur mereka dan kesempatan kepada saya bertemu mereka dalam Syawal seterusnya.

Namun sedih juga apabila ada di antara kita yang malas keluar dari rumah berhari raya. Daya tarikan yang dijelmakan di televisyen sungguh kuat. Bukan sahaja kanak-kanak yang terpikat malah orang tua juga. Pagi mengadap TV sehinggalah malam.

Ziarahilah saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai sebelum terlambat. Janganlah memilih dalam menziarahi seseorang. Lebih-lebih lagi jika orang itu berpangkat dan dipandang tinggi oleh manusia.

Jika kita berharap orang datang bertandang ke rumah kita maka kita sendiri pergi dahulu bertandang ke rumah orang itu. Jika amalan ziarah menziarahi ini tidak diteruskan, tidak mustahil nanti adik-adik atau anak-anak kita tidak akan mengenali keluarga yang lain dan  mengetahui salasilah keluarga sendiri bahkan lebih malang merenggangkan hubungan kekeluargaan dan ukhuwah sesama anak Adam.

Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa mahukan rezekinya bertambah, usianya dipanjangkan, hendaklah ia menghubungi rahimnya (menziarahi saudara-maranya)” [Riwayat Bukhari]

Pesanan buat diri sendiri dan juga semua, marilah kita meneruskan ibadah kita dengan berpuasa ENAM. Banyak fadhilat dan kelebihan berpuasa enam.

Nabi saw memberi galakan menyusuli puasa Ramadhan dengan puasa 6 hari dalam bulan Syawal, Abu Ayyub al-Ansori meriwayatkan:

“Siapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian diikuti dengan (puasa) 6 hari dalam bulan Syawal, maka seoleh-olah dia berpuasa setahun penuh.” (HR Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah)

~ Selamat Menyambut Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin ~

Perantau di Kota,

41200, Klang

Apa Komen Anda?