Tandas Untuk Transgender: Solusi Jangka Pendek dan Jangka Panjang.

Isu LGBT masih hangat diperkatakan sehingga ke hari ini. Dari kes Dr Ilyani sehinggalah isu berkaitan tandas untuk transgender(TG).
Terbaru, timbalan menteri mencadangkan golongan minoriti ini menggunakan tandas OKU.
Lantas wujud satu lagi polemik antara golongan OKU dan TG.
Hakikatnya solusinya telah ada tetapi mungkin kita terlupa.
Senario Penggunaan Tandas Hari Ini

Baiklah, saya ingin bertanya, semasa kita menaiki kapal terbang, kemudian kita terasa ingin membuang air kecil adakah kita mempunyai pilihan untuk samada tandas lelaki atau wanita?
Tiada. Yang ada hanyalah tandas untuk semua penumpang dan krew kapal.
Jika kita ke restoran dan kemudian mempunyai hajat untuk dilepaskan, kita tetap berkongsi tandas samada untuk lelaki mahupun wanita.
Begitu juga jika ke klinik swasta mahupun premis-premis kecil yang lain.
Inilah solusinya iaitu penggunaan tandas UNISEX.
=====
Tandas tanpa pengasingan jantina (UNISEX)
=====

Model tandas ini kebiasaannya diguna pakai untuk premis yang ruangannya agak kecil atau sempit.
Namun masih boleh digunapakai pada skala besar.
Bagaimana?
Apakah kita perasan semasa kita mengunjungi karnival yang besar atau di Stadium atau dibuat di kawasan terbuka, tandas yang digunakan adalah tandas plastik mudah alih unisex untuk menampung kepadatan pengunjung yang hadir.
Tandas unisex adalah salah satu cara penyelesaian jangka panjang.
Masalah tandas unisex sekarang adalah terlalu sempit dan tidak selesa.
Eh bagaimana pula dengan keselamatan?
Tandas mengikut jantina yang sedia ada sekarang adalah secara tertutup.
Maksudnya kita masuk ke ruangan ‘restroom’ dan baru ke tandas tempat kita melepaskan hajat. Maka ruangan inilah mewujudkan isu keselamatan.

Untuk penyelesaian ini, kita minta sahabat-sahabat artikek kita merekacipta tandas unisex yang selesa dan selamat.
Konsep tandasnya adalah seperti tandas OKU dengan ruangan yang selesa dilengkapi cermin dan sinki dan keperluan asas lain untuk semua jantina.
Jadi bagi wanita, mereka tetap menpunyai ruangan peribadi untuk bermekap atau bersolek mahupun membuka aurat dalam ruangan tertutup di tandas Unisex.
Manakala pihak OKU tetap terpelihara hak mereka dan kemudahan asas untuk mereka.
=====
Bagaimana pula penyelesaian jangka pendek?
=====
Baiklah, pada pendapat saya membenarkan tandas OKU/ Tandas Wanita digunakan oleh golongan TG juga tidak dapat menyelesaikan masalah.
Bahkan sudah menjadi perdebatan dan bantahan hangat semasa zaman pentadbiran Obama ketika beliau memberi kebenaran kepada golongan ini menggunakan mana-mana tandas yang mereka mahu di Amerika.
Solusi sementara adalah menyediakan tandas mudah alih atau tandas unisex satu atau dua unit di luar kemudahan tandas awam berasingan jantina.
Dan tandas ini diletak mengikut demografik golongan TG. Jika populasi TG seperti di Kuala Lumpur agak ramai maka unit tandas Unisexnya hendaklah juga bersesuaian.
Tandas sementara Unisex ini juga dapat berfungsi semasa waktu puncak dengan kebanjiran pengunjung semasa perayaan atau sambutan terutama jika di stadium atau masjid.

Masalah tandas di pasaraya besar atau kawasan yang tidak mempunyai ruang lagi untuk penambahan tandas sementara Unisex boleh dibincangkan dengan jurutera dan arkitek untuk menyelesaikannya.
Inilah juga solusi yang dicadangkan oleh orang awam dan ahli akademik
kepada pentadbiran Obama dalam menyelesaikan dilema dan polemik tandas ini.
Perlu difahami bahawa memberi cadangan ini bukanlah bermaksud mengiktiraf kewujudan golongan TG di negara kita. Namun, ianya sebagai solusi juga kepada masalah keselamatan yang wujud di dalam tandas mengikut jantina.
Mudah-mudahan solusi ini dapat membantu menyelesaikan masalah tandas ini dan kita kembali fokus menyelesaikan masalah pokok yang sedang melanda masyarakat dan negara kita.

Adakah anda bersetuju atau mempunyai cadangan lain?
Sila kongsikan di bawah untuk diskusi sihat bersama.
Boleh juga panjangkan cadangan saya ini kepada pak menteri dan jawatankuasa tandas di setiap premis kerajaan dan swasta.
#isutandastransgender
#solusitandasnegara
DAR
drafiqrahimdotcom
Mencari solusi dan bukan benci.