GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

“Tanya Sama Itu Hud-Hud…”

Terdapat terlalu banyak polemik yang berlaku kepada manusia hari ini terutama kepada umat Islam.

Polemik Politik,
Polemik Ideologi,
Polemik Tasawuf,
Polemik Muamalat,
Polemik Kemanusiaan,
dan pelbagai lagi isu yang tidak pernah putus.

Masalah utama apabila berlaku pertembungan adalah keji mengeji, hina menghina, fitnah memfitnah dan akhirnya membawa kepada kebinasaan.

Saya ingin mengajak sahabat-sahabat saya dan tuan puan di ruangan media sosial ini untuk menghayati bait-bait lagu M.Nasir iaitu:

“Tanya sama itu Hud-Hud”

Saya amat berharap anda dapat belajar sesuatu daripada lagu ini.

Setiap kupasan bait lagu ada pada setiap gambar.

 

=====

Image may contain: one or more people and text

Rangkap awal di dalam lagu Sifu M.Nasir ini menyebut:

“Tujuh puluh tiga pintu,
Tujuh puluh tiga jalan,
Yang sampai hanya satu jalan.

Pastinya kita ada mendengar sabda baginda Nabi SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya di kemudian hari nanti akan berpecah-pecah umatku sebagaimana berpecahnya kaum Yahudi dan Nesrani dalam ugama mereka.”

“Berpecah umatku menjadi 73 firqah (atau golongan atau mazhab), 72 golongan atau firqah atau mazhab masuk Neraka dan hanya SATU (sahaja) masuk Syurga.”

Maka bertanya para sahabat:
“Siapa golongan yang SATU itu, ya Rasulullah (s.a.w)?”

Sabda Rasulallah (s.a.w):
“Iaitu yang mengikut jalanku (yakni, sunnah baginda nabi) dan jalan sahabat-sahabatku yang benar lagipun diberi petunjuk oleh Allah SWT.”

(Hadith sahih riwayat at-Termidzi dll)

Hanya ada satu jalan untuk selamat iaitu dengan mengikuti sunnah Rasulullah SAW dan amalan para sahabat baginda.

Yang sedihnya, hal sebegini pun menjadi perdebatan.

Yang mana satu nak buat?
Yang mana satu nak didahulukan?
Yang mana paling afdal?

Oh kawan.

Jangan jadi seperti Bani Israel, buat sahaja dan tanyalah kepada alim ulama.

=====

Image may contain: text

Lagi, bait-bait lagu tersebut menyebut:

“Beribu-ribu Margasatua…
Mencari raja si Muraq
Yang sampai hanya tiga puluh…”

Rangkap ini diekstrak daripada syair Parsi – Musyawarah Burung (Mantiq Al-Tayr) tulisan Farid ud-Din Attar.

Kitab itu berisi pengalaman spiritual yang pernah dilaluinya untuk mencari makna dan hakikat hidup.

Attar menuangkan pengalamannya itu melalui sebuah cerita perjalanan sekawanan burung agar lebih mudah dimengerti.

Dengan gaya bertutur, kitab itu mengisahkan perjalanan sekawanan burung untuk mencari raja burung yang disebut sebagai Simurgh (Muraq) di puncak Gunung Kaf yang agung.

Sebelum menempuh perjalanan berkumpulah segala burung di dunia untuk bermusyawarah. Tujuan mereka hanya satu yakni mencari raja. Dalam perjalanan itu, para burung yang dipimpin oleh Hud-hud.

Untuk sampai ke hadrat Si Muraq, mereka harus tempuhi tujuh lembah yang penuh halangan.

Lembah pertama adalah lembah keinginan.

Di sini semua burung diminta bertaubat dan meninggalkan kehendak duniawi.

Lembah kedua adalah lembah kerinduan.

Di mana semua burung perlu menyelami lautan api agar tubuh mereka terbakar.

Lembah seterusnya adalah lembah makrifat.

Di sini semua burung harus memilih jalan sendiri lantaran “terlalu banyak jalan menuju yang satu, dan setiap satu disediakan bagi jiwa yang sesuai dengannya.”

Di lembah kepuasan, semua tuntutan, semua nafsu duniawi harus ditanggalkan dari hati.

Di lembah kesatuan, yang banyak menjadi satu.

Sebaik saja sampai ke lembah yang keenam, lembah kekaguman, burung-burung itu, yang sangat keletihan dan kebingungan, menembusi hijab berpasang-pasangan, dan mendapati jiwa mereka kosong.

Hinggakan mereka menangisi:
“aku tidak mampu berfikir lagi lantaran ghaibnya segala ilmu dari diriku.”

Mereka berkicau lagi:
“Aku curiga atas curiga ku ini, namun rasa curiga itu sendiri pun aku tak pasti, aku mendambakan, tapi siapakah yang sebenarnya aku dambakan?”

Akhirnya di hujung perjalanan, di lembah kefakiran dan fana, di mana segala sifat keakuan ditanggalkan dari diri mereka, mereka dipakaikan dengan jubah ketidaksedaran, menyebabkan mereka hanya meneguk ruh kewujudan. Ruh sebenar erti penghidupan mahkluk.

Bila mereka berjaya mengharungi kesemua tujuh lembah, bila mereka berjaya meruntuhkan gunung keakuan, dan menanggalkan kecintaan terhadap segala ilmu, barulah mereka dibenarkan meneruskan perjalanan bertemu raja Si Muraq.

Dari beribu-ribu ekor burung yang memulakan perjalanan, hanya TIGA PULUH saja yang berjaya mengharungi segala payah jerih.

Dengan kepenatan yang tak terhingga, dengan perasaan kehinaan yang tak terkata, mereka dibawa berjumpa dengan raja segala burung.

Namun tatkala bertemu dengan raja tersebut, apa yang mereka dapati bukanlah raja segala burung, tetapi adalah refleksi diri mereka sendiri di dalam sebuah cermin diri.

Si Muraq, ataupun sirmurgh, adalah perkataan parsi yang bermaksud tiga puluh ekor burung.

Maka di sini, di perjalanan kehidupan kita sebagai makhluk tuhan yang panjang dan penuh onak dan duri, apa yang kita cari sebenarnya adalah “Makna Diri” dan “Mengenali diri sendiri” untuk diperakui kebesaran Tuhan.

Allah SWT berfirman:
“Wahai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau redha dan diredhai (di sisi Tuhanmu”

(Surah Al-Fajr ayat 27-28)

======

Image may contain: cloud, sky and outdoor
Sambungan rangkap lagu tersebut berbunyi.

“Ooh… Sang Algojo,
Ooh… nanti dulu!”

Algojo itu adalah orang yang ditugaskan mencabut nyawa. Dia mungkin seorang tukang pancung kepala atau pegawai yang melaksanakan hukuman mati.

Namun, hakikatnya, yang mencabut nyawa setiap makhluk tuhan adalah Malaikat Maut.

Malaikat Maut menjenguk kita sebanyak 70 kali sehari. Dan tatkala Malaikat sedang bersiap sedia menarik nyawa kita dan pada ketika itu, kita sedang sibuk melakukan maksiat atau perkara keburukan atau sedang sibuk mencaci, mencela antara satu sama lain kerana perbezaan ideologi, apakah kita akan berkata sebegini:

“Oohhh nanti dulu..!”

Bolehkah kita berkata sedemikian?

=====

Image may contain: one or more people and closeup

“Lihat dunia dari mata burung,
Atau lihat dari dalam tempurung,
Yang mana satu engkau pilih..”

Dua rangkap yang atas tu jelas dan terang, menyuruh kita berfikir secara terbuka dan berpandangan jauh melalui ‘Bird’s Eye View’

atau

berfikir seperti katak di bawah tempurung.

Maka, berfikirlah dan buatlah keputusan dengan akal dan iman yang dianugerahkan.

=====

No automatic alt text available.

“Dalam kalut ada peraturan,
Peraturan mencipta kekalutan,
Di mana pula kau berdiri,
Di sini..”

Mari kita menyingkap kembali sirah Rasullullah SAW yang membawa cahaya pada masyarakat Jahiliah pada zaman tersebut.

Rasullullah SAW menyebarkan agama Islam dan membangunkan sistem peradaban manusia dari porak peranda kejahilan kepada satu sistem yang sempurna.

Namun dunia kita kini sudah jauh berubah.
Sistem yang sempurna itu sudah tidak digunapakai atau terhalang oleh Umat Islam sendiri. Terlalu banyak persepsi dan birokrasi negatif menghalangnya.

Sistem itu diambil alih oleh undang-undang ciptaan manusia sendiri yang terlalu banyak kekurangan.

Kita di mana sekarang?

Umat Islam sedang berada di tengah kekalutan sistem peraturan ciptaan manusia sendiri.

=====

Image may contain: text

“Ooh… Sang Algojo,
Ooh… nanti dulu,

Berikan ku kesempatan akhir ini,
Untuk menyatakan kalimah/kisah sebenarnya,
Berikan aku kesempatan akhir ini,
Lai lai la lai la lai….”

Tiada guna kita berdebat siapa betul, siapakah salah.

Yang penting, kita sama-sama berusaha melakukan kebaikan di dunia ini.

“Sebaik-baik manusia adalah yg paling bermanfaat bagi orang lai” (HR.Ahmad)

Kerana di penghujung kehidupan kita, hanya 3 perkara yang penting iaitu:

1. Doa anak yang SOLEH.
2. Amalan baik di dunia.
3. Ilmu yang bermanfaat kepada orang lain.

=====

No automatic alt text available.

Tanya sama itu hud-hud,
Lang mensilang,
Kui mengsikui,
Kerana dia yang terbangkan ku ke mari…

Rujuk balik kisah Musyawarah Burung.

Oleh kerana burung hud-hud yang mendakwa bahawa raja si Muraq itu wujud dan menerbangkan kawanan burung ke tempat yang dituju, maka kena tanya pada dia lah tentang semua persoalan yang timbul di dalam lirik lagu ini.

“Lang mensilang, Kui mengsikui” bermaksud Orang tak macam orang, hantu tak macam hantu.

Apakah macam Darth Varder?

=====

Jika tuan puan mempunyai maksud yang lebih baik bagi setiap lirik ini, maka silah berkongsi di ruangan komen tersebut.

Saya berharap, tuan puan beroleh banyak manfaat melalui maksud mendalam lirik-lirik ini.

Oh jangan lupa untuk kongsikan kepada orang lain juga.

Dr Afiq Rahim
Jika kau tanya kepadaku, maka akan kupinta kamu bertanya kepada burung Hud-hud tentang pilihanku.

Sumber:
1. https://mindaahad.wordpress.com/2011/05/14/kisah-lirik-lagu-tanya-sama-itu-hud-hud/
2. Mohd Amin, YouTube “Maksud disebalik lagu

Apa Komen Anda?