GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

Bagaimana Tindakan Seorang Nenek ini Hampir MEMBUNUH Cucunya

Uhuk…Uhuk….Uhukkkkk

Seorang kanak-kanak berumur setahun tahun tiga bulan mengalami batuk berpanjangan sedang menunggu di luar bilik pegawai perubatan sebuah klinik kerajaan.

Telah hampir seminggu batuknya berlarutan. Ibubapanya telah memberikan ubat batuk abangnya yang berumur 7 tahun kepada anak kecil itu selepas dua hari dia batuk tetapi tiada tanda-tanda improvasi.

Anak itu yang pada asalnya hanya mempunyai batuk berkahak dan selsema kini mula mengalami demam panas dan tiada selera makan. Hanya selepas tiga hari keadaannya menjadi semakin lemah maka ibubapanya membawa ke klinik untuk rawatan lanjut.

Uhuk…Uhuk….Uhukkkkk…..

Kanak-kanak itu masih mengalami batuk teruk dan nafasnya tercungap-cungap sedikit. Dia hanya mampu terbaring lemah di riba ibunya.

Namun bagi pandangan nenek yang turut menemani ibunya, itu adalah perkara biasa.

“Aku hidup lebih lama, pastinya lebih dahulu makan garam” bisik hati kecil neneknya tatkala diaju soalan oleh untuk dibawa ke klinik tetapi dibantah olehnya pada peringkat awal.

Bagi nenek tersebut, keadaan cucunya biasa-biasa sahaja.

“Alah batuk sedikit, sehari dua lagi sihatlah tu” otaknya cuba merasionalisasikan keputusan awalnya.

Ting tong…ting tong…..

Nombor giliran mereka muncul di papan skrin elektronik. Anak kecil itu didukung oleh ibunya ke dalam bertemu doktor.

Doktor tersebut bertanya kepada keadaan anaknya lalu melakukan pemeriksaan selanjutnya.

Kadar pernafasan anaknya adalah 30 nafas dalam seminit, rongga-rongga tulang rusuknya kelihatan ketika anak itu menarik nafasnya, otot lehernya mengecut dan tegang sepanjang pernafasan. Anak kecil itu mengalami tanda-tanda respiratory depression atau tanda bahaya pernafasan bagi seorang manusia.

Bacaan oksigennya juga rendah 85% sahaja. Paru-parunya melantunkan alunan desiran pasir seperti di pantai dan pada masa yang sama memainkan irama tiupan wisel. Suhu badannya adalah 38 darjah celcius.

Diagnosis: Akut Asthma berpunca daripada Radang Paru-Paru (Acute Exacerbation of Asthma Secondary to Bronchopneumonia)

Doktor meminta anak ini diberikan rawatan nebuliser atau alat sedutan gas untuk pesakit asthma dan dipersiapkan untuk dibawa ke hospital bagi rawatan lanjut.

Nenek: Pergi hospital ke doktor? Alah, amik gas di sini sudahlah doktor.

Si ibu hanya memandang takut wajah bondanya tanpa berkata apa-apa.

Doktor: Makcik, keadaan anak ini sudah teruk. Kami khuatir jika dia lambat mendapat rawatan sepatutnya maka keadaan dia akan menjadi semakin parah. Sila lihat bacaan darahnya (sambil menunjukkan keputusan darah FBC anak kecil itu), sel darah putihnya (WCC) tinggi melebihi 20. Saya khuatir dia bakal mendapat jangkitan kuman dalam darah (sepsis) pula selepas ini.

Nenek: Alah doktor, dulu pun teruk macam ini juga. Doktor lain bagi je ubat dan balik tu sembuh je budak ni.

Doktor: Maaf, saya tidak tahu keadaannya yang dulu. Doktor yang benarkan dia balik itu pasti yakin akan keputusannya berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan. Namun, saya tidak merasakan begitu. Puan (sambil bertanya kepada ibunya), apakah puan merasakan anak puan ini segar seperti sebelum ini atau keadaannya semakin teruk.

Ibu: Keadaannya semakin teruk doktor. Mulanya batuk sahaja dan tak demam, lepas tu demam dan sekarang makan pun kurang. Saya risau doktor. (sambil berkata dengan wajah cemas)

Doktor: Jadi adakah puan bersetuju untuk anak ini dirujuk kepada pakar di hospital?

Ibu itu mengangguk tetapi menoleh ke arah bondanya. Nenek itu merenung tajam ke arah anaknya itu.

Ketika melangkah keluar daripada bilik doktor menuju ke zon kecemasan untuk rawatan awal, doktor itu terdengar perbualan antara ibu dan anak tersebut:

Nenek: Itulah kau. Kan aku dah cakap, jangan bawa anak ko datang sini. Ko degil. Tengok sekarang dah kena pergi hospital. Sapa yang susah?

Ibu/Anak: Mak, kesianlah kat cucu mak ni. Tengok keadaan dia ni. Dah makin teruk. Takkan nak biar sampai dah terlambat mak.

Doktor itu hanya mampu menggelengkan kepala tentang sikap kedua-duanya.

Akhirnya, anak kecil itu dihantar ke hospital menaiki ambulans manakala nenek itu dihantar pulang oleh menantunya ke rumah.

  • Dapatkan Buku "I Need A Helicopter. My Patient is Dying" di pasaran sekarang.

=====================================

Apakah ibrah daripada kisah ini?

1. Jangan memberikan sebarang ubat kepada anak anda tanpa nasihat daripada doktor. Ini adalah tindakan yang boleh MEMBUNUH anak anda.

2. Jangan bertangguh mendapatkan rawatan perubatan untuk kanak-kanak terutama 10 tahun ke bawah. Ini kerana sistem pertahanan badan mereka pada peringkat ini masih muda dan mudah diserang penyakit.

3. Ibubapa mempunyai kuasa veto untuk membuat keputusan terbaik ke atas anak mereka dalam hal ehwal kesihatan. Bukannya datuk, nenek, mak sedara, jiran tetangga, bapa angkat, bos, kawan-kawan dan sewaktu denganya.

4. Kesihatan adalah perkara yang kompleks. Apa yang berlaku pada hari ini tidak akan sama dengan 10 hari kemudian. Oleh itu, jangan samakan tahap kesihatan anda 10 tahun dahulu atau sekarang dengan orang lain. Allah mencipta setiap manusia berbeza-beza tahap kesihatannya.

5. Masyarakat kita masih mempunyai stigma yang menebal tentang peranan perubatan moden di klinik atau di hospital. Jangan risau tuan-tuan dan puan-puan, kami di sini hanya ingin membantu dan bukan menyusahkan anda.

Sila kongsikan artikel ini. Semoga lebih ramai pihak mendapat manfaatnya.

“HIDUP PENUH MANFAAT”

DAR

 

Apa Komen Anda?