GribblesDapatkan keputusan saringan Kanser, Kencing Manis, Kolesterol dan banyak lagi sepantas 1-3 Hari sahaja. Hanya di Gribbles

Titik Noktah Kembara di Bumi Shamrock

Mungkin penulisan ini adalah tinta terakhirku di bumi bertuah ini.
Harapnya tidak sebegitu.

Kurang 24 jam, daku bakal melabuhkan tirai perkelanaanku di bumi nan hijau ini meninggalkan bumi yang kaya dengan khazanah keanggunan alam flora bersama penghuni yang mesra. Esok jam 5 petang, daku terbang ke awan biru menuju destinasi kehidupan yang pastinya lebih segar dan mencabar.

Lima tahun kaleidoskop kehidupan menghuni di perut Dublin adalah sangat singkat buatku bertaaruf bersama kota Irish apatah lagi memahami budayanya. Namun, aku amat menghargai pengalaman emas ini. Pengalaman yang mematangkan diriku. Pengalaman yang membina karakterku sekarang ini dan pengalaman yang menjadikan aku adalah AKU.

Aku masih teringat saat aku berpijak di kota ini dan disambut oleh presiden PPIMI pada ketika itu saudara Haikal Ghazali dan Ruzaimi Ramza (KUD) bersama senyuman sampai ke telinga mereka sehinggalah aku melelapkan mata buat kali pertama di perantauan.

Kemudian dikhitbah oleh saudara Arif Fahmi menyertai Persatuan Pelajar Islam Malaysia Ireland sebagai Ketua Lajnah Penerangan (aku sendiri pada ketika itu memerlukan penerangan orang lain tentang PPIMI dan hal ehwal Dublin) dan bertatih sedikit demi sedikit dalam selok-belok politik dan kebajikan kampus sebelum memegang mandat sebagai Presiden PPIMI 2009-2010 (itulah pertama kali aku memegang jawatan tertinggi dalam kepimpinan pelajar. Selama ini hanya sebagai orang bawahan. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar ketika itu.) 

Di kolej, aku begitu teruja menambah kenalan inter-nasional, berbual-bual dengan mereka dan cuba sedaya upaya memahami budaya mereka sampai terbelit lidah cuba meniru cakap Mat Salleh gaya Irish agar mudah difahami. Namun, hakikatnya aku terlupa bahawa aku belajar di sebuah world leading international medical school (claimed by Chancellor of National Ireland University not me) bukan universiti tempatan maka bercakap English standard adalah lebih baik dan mudah difahami warga kolej.

Aku masih teringat bagaimana begitu susah menghadam nota-nota dan syarahan Professor Tom Farrell dan nota anatomi Mr. Brown kerana slang Irishnya. Itu belum lagi, syarahan oleh Prof. German (aku pun dah tak ingat nama dia) itu di tahun kedua yang langsung tidak aku mengerti satu hapak pon. Tahun pertama aku, keluar daripada lecture hall, aku pasti tak faham apa yang aku dah belajar tadi !

Namun, sebagaimana teori Darwin tentang survivor of life, begitu juga manusia. Biologi kita akan segera menyesuaikan diri dengan persekitarannya. Bezanya lambat atau cepat adaptasi kita. Kerana sukar memahami nota pensyarah maka aku membuat nota sendiri dan hasil tarbiyah ini, aku laksanakan disiplin ini sehingga di tahun akhir pengajian dan sangat berkesan buat diriku.

Kemudian daku merangkak menyelusuri ibukota Irish ke Hospital Beaumont setiap hari bekerja di tahun kedua hingga tahun tiga perubatan, menyelami kehidupan sang Tabib Moden dengan persekitaran hospital adalah pengalaman yang menyeronokkan. Belajar memahami bahasa rakyat marhaen untuk diterjemahkan kepada bahasa bombastik perubatan bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi belajar memahami pesakit itu sendiri (EMPATHY).

Di situ jugalah pengenalan pertama bersama Professor lagenda Surgery (PemBedahan), Prof Arnold Hill. Pengalaman berada di kelasnya sehingga di tahun akhir boleh disimpulkan di dalam tiga ayat.

Berdebar-debar tetapi bermanfaat.

Berdebar jika ditanya diikuti dengan sindiran tajam yang menusuk qalbu jika tidak dapat menjawab soalannya. Tipsnya mudah, duduk di barisan hadapan, insyallah kamu selamat.

Tahun keempat adalah tahun pengembaraan buatku. Daripada Kerry di Selatan Barat Ireland ke Mulinggar di sempadan Ireland Utara membawaku bersiar-siar di bandar-bandar kecil di Ireland dan melihat lebih dekat bumi hijau ini. Tahun keempat sangat layak digelar tahun depresi oleh kebanyakan sekolah perubatan di Ireland. Jadual pembelajaran dan rotation yang sendat dan peperiksaan-peperiksaan besar mengundang kemurungan yang dahsyat di kalangan penuntut perubatan. Namun, dengan persediaan rapi dan berfikiran positif, daku bersama rakan seperjuangan yang lain selamat melangkah ke tahun akhir selepas segala onak dan duri berjaya kami tempuhi.

Tahun terakhir di mana sebelah kaki sudah berada di garisan penamat dan memerlukan sebelah sahaja lagi untuk menamatkan perjalanan ini. Tahun akhir….Hmm…tahun akhir…..Hmmmm….

Tidak banyak yang boleh dikongsi tentang tahun akhir kerana apa yang ingin dikongsikan adalah sebuah drama tipikal kehidupan pelajar tahun akhir.

Royal Collge of Surgeons in Ireland

Hakikatnya, untuk berkongsi pengalaman manusia selama lima tahun yang penuh warna-warni memerlukan lima tahun lagi untuk bercerita tentangnya. Lebih-lebih lagi jika kamu seorang yang aktif dan suka bersosial.

Apa yang telah daku peroleh selama lima tahun di bumi Leprechaun ini?

1. Menjadi pelajar perubatan adalah lebih senang daripada mahasiswa perubatan.

Pelajar perubatan fokusnya hanya kepada akademik dan kehidupan sosialnya sahaja tetapi mahasiswa perubatan, kehidupannya bukan untuk dirinya sahaja tetapi untuk manusia lain.

Mahasiswa perubatan: masa sentiasa mencemburuinya, kudratnya ditagih, akademik sebagai taruhan, wang kocek sendiri untuk kocek orang lain dan seribu satu kepayahan tetapi itulah mahar kepada kebahagiaan diri. Seperti hukum karma,

“What you give, you will get back”   

Beza pelajar perubatan yang cemerlang dan pelajar perubatan yang sekadar lulus adalah pada sekeping sijil sahaja di Malaysia. Namun beza mahasiswa perubatan dan pelajar perubatan di setiap sudut dunia adalah pada attitude(sikap) dan fikrahnya (pemikirannya).

Mahasiswa perubatan adalah model profesional cemerlang yang kerajaan canang-canangkan. Barulah dikatakan pelaburan hampir 2 juta ringgit wang rakyat ke atas kita berbaloi.

Ini mengingatkan daku kepada chorus lagu Remember the Name oleh Fort Minor walaupun daku tidaklah berapa layan lagu-lagu rap. (Professor McElvany (Proferssor of Medicine RCSI) juga menggunakan bait-bait ini untuk menggambarkan kehidupan kita di alam perubatan sehingga tua).

This is ten percent luck, twenty percent skill,

Fifteen percent concentrated power of will,

Five percent pleasure, fifty percent pain,

And a hundred percent reason to remember the name !

Itulah hakikat seorang mahasiswa perubatan. Tambah sedikit bahawa adanya barakah dalam hidupnya. Maka kamu pilihlah, kamu mahukan 2.5 atau 5 tahun yang bermakna untuk masa depan kamu atau 2.5-5 tahun yang bermakna hanya ketika kamu bergelar pelajar ? Fikir-fikirkanlah.

2. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian,
Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.

Jika Islam menghalalkan judi maka aku akan bertaruh bahawa semua manusia mahu berjaya dan pasti aku akan memenangi pertaruhan itu. Namun, setiap kejayaan memerlukan pengorbanan.

Semalam, daku telah menonton Kungfu Panda 1 buat kali ke-3 dan quote terbaik daripada filem itu adalah:

“There is no secret ingredient. It’s just you”

Tiada resepi untuk kejayaan kecuali diri kamu sendiri. Kita yang menentukan kejayaan kita sendiri.

It’s just YOU !

Apakah dengan bermain game secara berlebihan maka kita akan berjaya atau apakah belajar sekadar cukup pada diri kita sudah memadai untuk lulus di dalam peperiksaan ?

Percayalah, dunia perubatan akan sentiasa kejam kepada kamu jika kamu tidak bersedia sehinggalah kamu bersara daripadanya.

Untuk lulus peperiksaan tahun akhirku, 

  1. Daku telah menukar hampir semua nota-nota RCSI itu ke dalam bentuk mind map (sehingga ada rakan bergurau bahawa ini kerja gila) bersama beberapa teman-teman lain.
  2. Mewujudkan study group dengan rakan-rakan sekuliah dan dilaksanakan setiap minggu. 
  3. Keluar menuntut ilmu di perpustakaan seawal jam 8 pagi dan pulang jam 8 malam setiap hujung minggu. 
  4. Belajar di Hospital Beaumont sehingga jam 7 petang (sebab nak elak kesesakan lalu lintas di kota Dublin) setiap hari biasa.
  5. Berusaha untuk mendapatkan latihan atau tutorial bersama doktor-doktor di hospital setiap hari.
  6. Berguru dengan doktor-doktor Malaysia samada di RCSI atau di Kampung Lucan pada hujung minggu.
  7. Sanggup ke Hospital James TCD sebab nak dapat clinical tutorial dengan Dr Raja Affendi (SPR Gastroenterologist) di sana.

Dan bermacam-macam lagi. Bagiku, ini adalah terlalu sedikit berbanding teman-teman seperjuanganku yang lain. Bukan niat untuk menunjuk-nunjuk (aku berlindung dengan Allah daripada sifat mazmumah ini)  tetapi sekadar berkongsi pengalamanku untuk menggenggam segulung ijazah perubatan.

Kuncinya adalah usaha tangga kejayaan.

Kalam penutup Bicara

Mungkin ada yang telah menguap membaca warkah terakhirku di bumi Shamrock maka cukuplah sekadar di sini coretan pengalaman kelanaku di Ireland.

Daku berharap ini hanyalah titik noktah untuk kembara soloku di sini. Selepas ini, bersama back drops baru, set penggambaran baru, watak baru dan kali ini bersama heroin (bakal zaujahku) baru, kisah kembara berDUA akan diterbitkan.

Aku akhiri warkah terakhir ini dengan serangkap pantun,

Tuan puteri pergi ke Rasah,
Pulang semula sebelah pagi,
Jika bertemu adatnya berpisah,
Diizin Tuhan bersua lagi.

Selamat tinggal dan salam perjuangan wahai teman.

Ibn Abd Rahim
Dublin 8

Apa Komen Anda?

3 Comments