Scam Kesihatan Siri 20: Ubat-ubat “Mujarab” Yang Mengandungi STEROID!

Ubat-ubat “mujarab” mungkin mengandungi steroid!

74 tahun, seorang Pakcik. Kencing Manis, Darah Tinggi dan Penyakit Kronik Buah Pinggang Tahap 3. Biasanya terkawal & tiada masalah.

Beberapa minggu lalu, datang berjumpa saya di klinik.

Tekanan darah 190/100 mmHg. Bacaan gula (puasa): 10, HbA1C 10 %. Kadang-kadang sakit perut kawasan atas abdomen. Sekali sekala kaki bengkak.

Tekanan Darah Tinggi

Saya pelik sebab bertahun datang ke klinik beliau tiada masalah. Tanya macam-macam soalan, semua jawapan tidak:

“Pakcik ada ambil suplemen tak?”

“Tidak”

“Pakcik ada ambil ubat dari Doktor lain tak?”

“Tidak”

Pelik saya. Tak lojik juga kaki beliau bengkak, sebab fungsi buah pinggang stabil. Protein dalam urin, negatif/tiada.

Saya kemudian mohon lihat ubat-ubat beliau. MasyaAllah ada “ubat” pelik ini. Rupa-rupanya beliau beli tablet ini di kedai sin sei. Logo KKM jangan harap lah ada!

“Untuk gout, Doktor! Makan saja, terus lutut saya hilang sakit”

Hmmmm…. “sejak bila pula Pakcik ada gout? Gout itu kebiasaannya pada jari pertama kaki, dan akan merah kesakitan”.

“Oh!”

Bahan Ubat Mujarab

Ingat lah semua ya:
1. Ubat “mujarab” kebiasaannya di tambah steroid. Banyak jamu telah dilaporkan di masukkan steroid juga. Hati-hati. Tak payah lah beli benda-benda yang merisikokan kesihatan diri.

2. Steroid jangan main-main ya: bacaan gula jadi tinggi, tekanan darah mencanak, kaki bengkak, risiko jangkitan kuman, sakit perut. Yang bergantung kepada ubat steroid ini, saya banyak jumpa masalah Cushing’s syndrome. Kalau sakit, susah kami nak rawat, komplikasinya sangat banyak dan kebiasaannya tenat.

3. Untuk anak-anak, lihatlah almari ibu ayah anda ya. Tengok lah apa yang mereka ambil. Nasihatilah mereka.

4. Untuk Pengamal Perubatan, kadang-kadang Kita perlu menjadi CSI. Pakcik Makcik kadang-kadang tidak klasifikasi kan “ubat” macam ini suplemen. Pada mereka, tak perlu beritahu pun sebab tak ada kaitan dengan penyakit mereka. Istiqomah sahaja lah ya kita hari-hari.

5. Bukan semua sakit sendi itu gout. Mohon jangan buat diagnosa sendiri. Berjumpa lah Doktor, bincang lah apa diagnosa sebenar dan apa cara untuk mengelakkannya. Bukan elok bergantung dengan ubat penahan sakit sahaja.

Yang cepat sangat mujarab biasanya memudharatkan!

Hati-hati dengan pilihan anda.

Kredit kepada Dr Rafidah Abdullah
Pakar Perunding Perubatan & Nefrologi
#MedTweetMY

Sumber: Klik di sini

Apa Komen Anda?